KPM,KKM Kerjasama Banteras Penjualan ‘Energy Stick’ Kepada Pelajar Sekolah

KPM,KKM Kerjasama Banteras Penjualan ‘Energy Stick’ Kepada Pelajar Sekolah

0
SHARE
Sumber: Foto Ihsan PHM

NILAI: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha membanteras penjualan dan penggunaan ‘Energy Stick’ dalam kalangan pelajar sekolah.

Menteri KPM, Datuk Fadhlina Sidek berkata, pihaknya komited melaksanakan pemantauan di peringkat sekolah bagi menangani isu itu yang dilihat semakin berleluasa.

“KKM telah pun mengambil tindakan. Jadi, kita sokong semua tindakan yang diambil oleh KKM dan saya ingin meminta ibu bapa, dan pihak sekolah untuk mengambil perhatian berhubung isu ini.

“Perkara ini penting supaya anak-anak kita tidak terjebak dengan pengambilan ‘Energy Stick’ dan KPM menyokong apa juga tindakan yang diambil oleh KKM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Hari Perpaduan Silang Budaya dan Agihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) peringkat Negeri Sembilan di SMK Nilai Impian, semalam.

Terdahulu, Public Health Malaysia menerusi laman sosialnya memuat naik hantaran berkenaan produk tersebut yang dikesan agak popular dalam kalangan pelajar sekolah.

Produk itu sangat giat dipromosikan menerusi media sosial dan boleh diperoleh dengan harga serendah RM2.50 hingga RM10.

Dalam pada itu, KPM turut memaklumkan pengagihan BAP di seluruh negara telah mencapai 80 peratus.