IPOH: Seorang pelajar kolej maut selepas dipercayai terkena sebilah sabit dalam satu kejadian luar jangka ketika menunggang motosikal di Teluk Intan semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Bakri Zainal Abidin berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila sabit berhulu panjang yang dibawa seorang lelaki secara tidak sengaja terkena pada bahagian leher mangsa ketika motosikal mereka berada berhampiran di atas jalan.
Menurutnya, insiden itu menyebabkan mangsa berusia 18 tahun mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Seorang lagi mangsa yang juga pelajar kolej berumur 17 tahun dan rakan kepada si mati turut mengalami kecederaan pada bahagian tangan dan kini sedang menerima rawatan lanjut,” katanya.
Susulan kejadian itu, polis menahan dua lelaki warga asing masing-masing berusia 39 dan 52 tahun bagi membantu siasatan.
Bakri berkata kedua-dua suspek telah direman selama tujuh hari sehingga 16 Mac selepas perintah reman dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Teluk Intan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.






