AMPANG: Orang ramai dinasihat supaya tidak membuat pembelian panik menjelang Aidilfitri tidak lama lagi, kerana bekalan barangan keperluan di negara ini mencukupi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pemantauan awal sudah dibuat bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta pemain industri bagi memastikan bekalan mencukupi sehingga selepas Aidilfitri.
“Langkah ini termasuk memastikan rantaian bekalan barangan utama sentiasa stabil walaupun terdapat kebimbangan berkaitan faktor cuaca dan perkembangan konflik global.
“Semalam dalam mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) kita dimaklumkan ketika ini mempunyai lebihan bekalan barang-barang utama.
“Namun sebagai langkah kontigensi, selain KPKM, kita juga bekerjsama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi menghadapi kebimbangan perang berlarutan termasuk mencari sumber alternatif sekiranya negara sumber tidak boleh atau terpaksa menghentikan eksportnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya dan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Aidilfitri di Laman Rekreasi Tasek Tambahan, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam.
Mengenai peningkatan harga sayur akibat faktor cuaca, Armizan berkata, beberapa jenis sayur utama sudah dimasukkan dalam senarai SHMMP Aidilfitri.
“Kita tahu faktor cuaca antara yang memberi implikasi utama kepada bekalan sayur. Namun alhamdulillah, jenis sayur-sayuran utama itu kita masukkan dalam SHMMP ini,” katanya.
Menjawab kebimbangan konflik di Asia Barat menyebabkan kenaikan mendadak harga barangan di peringkat global, beliau berkata, kerajaan sudah mengarahkan setiap kementerian menyediakan pemantauan serta pelan kontingensi berdasarkan bidang kuasa masing-masing.






