KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri Sabah benarkan solat fardu berjemaah, solat Jumaat serta aktiviti keagamaan di semua masjid dan surau di negeri ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Jumaat ini (12 Feb).
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Masidi Manjun yang mana beliau juga merupakan Jurucakap kerajaan negeri Sabah berkaitan COVID-19.
Menurutnya, kebenaran itu bagaimanapun tertakluk kepada beberapa syarat termasuk tidak melebihi 15 orang dalam satu waktu bagi solat fardu berjemaah manakala bagi solat Jumaat, tidak melebihi 45 orang.

“Aktiviti keagamaan di rumah-rumah ibadat yang lain dibenarkan dengan kapasiti satu pertiga keluasan tempat ibadat atau tidak melebihi 45 orang dalam satu-satu masa berkuat kuasa pada hari sama,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.
Masidi turut berkata bahawa kerajaan negeri turut bersetuju membenarkan aktiviti makan di restoran terhad kepada dua orang bagi satu meja berkuat kuasa hari ini selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.
“Bagaimanapun, warga emas dan kanak-kanak adalah tidak digalakkan,” katanya lagi.
Mengulas perkembangan COVID-19 di Sabah, Masidi berkata sebanyak 132 KES baharu direkodkan kelmarin (10 Feb), ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di negeri itu sebanyak 50,855 dengan EMPAT (4) KES kematian dilaporkan melibatkan dua di Tawau serta masing-masing satu di Putatan dan Sandakan.

Katanya seramai 174 pesakit COVID-19 telah sembuh dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh di Sabah 48,535 orang.