KOTA KINABALU, SABAH – Polis menahan seorang wanita bujang buat kali ke-enam selepas 113.67 gram dadah jenis syabu dijumpai bersama dirinya di Taman Ridgeview, di Kepayan Ridge, Isnin lalu (8 Feb).
Ketua polis daerah ACP Habibi Majinji berkata jumlah dadah yang bernilai sekurang-kurangnya RM12,233 itu telah dijumpai dalam insiden 3.15 petang bersama wanita tersebut.
“Modus operandi suspek adalah mengambil dadah di suatu tempat rahsia sebaik sahaja menerima panggilan telefon daripada pembekal.
“Suspek yang merupakan seorang penggangur akan mendapat upah sebanyak RM 300 bagi setiap kali penghantaran kepada pengedar bertujuan mengaburi pihak berkuasa,” kata Habibi.
Hasil soal siasat terhadap suspek juga membawa kepada satu serbuan dibuat segera oleh pasukan polis ke sebuah rumah di Taman Kendara 1, Tanjung Aru dan telah merampas dua lagi paket syabu (8.66 gram) yang disembunyikan di sebalik sebuah peti sejuk.

“Semakan rekod kesalahan lampau pula menunjukkan sebanyak lima sabitan di bawah Akta Dadah Bahaya 1952, manakala hasil ujian urin juga kembali positif dadah…
“Dua buah telefon bimbit turut dirampas bagi tujuan siasatan kerana disyaki digunakan untuk berhubung dengan pengedar bagi urusan jual beli dan penghantaran,” ujar Habibi.
Kes disiasat di bawah Sek 39B ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabit kesalahan.
Wanita tersebut kini ditahan reman selama lapan (8) hari dari tarikh 9 Feb bagi membantu siasatan.