Air Masin Sebabkan Loji Air Limbahau Tidak Operasi 20 Hari

Air Masin Sebabkan Loji Air Limbahau Tidak Operasi 20 Hari

0
SHARE
Shahelmey
Shahelmey (dua dari kanan) diiringi Suhaimi (tiga dari kanan) meninjau air Sungai Papar ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

PAPAR, SABAH – Paras air masin yang memasuki kawasan permukaan muka sauk (intake) Sungai Papar menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) EWS Limbahau tidak dapat beroperasi dan kini memasuki hari ke-20.

Keadaan tersebut telah mengakibatkan 54,165 pengguna dari 19 kampung terjejas iaitu Kampung Pengalat Kecil, Kampung Pengalat Besar, Kampung Sekayan, Kampung Sagang, Kampung Kelanahan, Kampung Biau/ Sabandil, Kampung Kuala Dalam, Perumahan Murah Kuala, Kampung Laut, Kampung Bambangan, Taman Sinar Kelanahan, Kampung Berundong, Kampung Balallait, Kampung Sapat, Kampung Melugus, Kampung Baun Sumbiling, Kampung Bundusan, Kampung Kambizaan dan Perumahan Melinsung.

Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya berkata tahap kemasinan air sungai kini mencecah bacaan 2899 MGL melebihi had maksimum yang dibenarkan iaitu 20 MGL.

“LRA Limbahau telah tidak beroperasi selama 20 hari hari ini disebabkan oleh kemarau berpanjangan menyebabkan air laut masuk ke dalam masuk ke dalam sungai ini sehinggalah ke kawasan intake air yang ada sekarang.

“Jadi disebabkan oleh tingginya tahap kemasinan air sungai pada masa sekarang sebentar tadi kita lihat jumlah bacaan 2899 mg/l yang jauh melebihi had maksimum yang dibenarkan 120 mg/l jadi loji ini tidak dapat berfungsi.

“Jadi, dalam masa loji ini tidak berfungsi, kita terpaksa menggunakan air daripada LRA Kogopon untuk kita bekalkan kepada komuniti atau penduduk sekitar Papar.

“Untuk LRA limbahau ini kapasitinya adalah sebanyak 10 juta liter sehari membabitkan 52,000 penduduk,” jelas beliau.

Bagi mengurangkan masalah yang membelenggu rakyat itu, beliau yang juga Menteri Kerja Raya mengarahkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bekerjasama Pejabat Daerah Papar untuk mengagihkan air ke kampung-kampung yang terlibat menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Daerah yang akan diadakan pada Jumaat ini.

“Dengan operasi tidak dilakukan, ini menyebabkan kekurangan bekalan air bagi Daerah Papar, jadi saya telah mengarahkan JANS dengan kerjasama Pejabat Daerah Papar untuk mengagihkan air di kawasan-kawasan yang terjejas agar masalah ini dapat kita kurangkan.

“Oleh itu, kita minta Pegawai Daerah membuat mesyuarat melibatkan JANS dan jabatan-jabatan yang berkenaan untuk memastikan bahawa agihan bekalan air kepada masyarakat serta penduduk di daerah papar ini dapat dilakukan.

“Tentang kaedah, bagaimana…mereka akan fikirkan sama ada menyediakan static tank ataupun lori yang penting rakyat dapat air dan tidak ada lagi aduan mereka tidak dapat air lebih daripada tiga atau lima hari,” katanya ketika melawat ke LRA EWS Limbahau dekat sini, pada Khamis.

Mengulas mengenai solusi mewujudkan intake kedua bagi LRA terbabit, Shahelmey memaklumkan, ia akan mengambil masa enam bulan dengan anggaran kos yang mampu ditanggung oleh kerajaan.

“Memandangkan LRA Limbahau ini telah mempunyai rekod sejak beberapa tahun yang lalu, pada tahun lepas sahaja loji ini terpaksa ditutup operasi selama 14 hari dan tahun ini sudah lebih 20 hari jadi kita memikirkan satu solusi untuk membuat intake kedua yang bebas daripada pengaruh air masin.

“Jadi, saya sudah berbincang dengan pengarah, Jurutera Air Daerah Papar tadi untuk mengenal pasti second intake bagi LRA Limbahau supaya kita akan gunakan intake kedua nanti untuk pastikan loji ini boleh terus beroperasi.

“Second intake ini memakan amsa enam bulan dengan kos belum dapat figure secara terperinci, tetapi saya yakin kerajaan mampu melaksanakannya,” tambah beliau.

Hadir sama, Turut hadir, Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik @ Nordin, ADUN Kawang Datuk Seri Dr. Ghulamhaidar @ Yusuf Khan Bahadar, ADUN Limbahau Datuk Juil Nuatim, Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah Datuk Ridhwan Roger Linus, Pengarah JANS Suhaimi Asbullah dan Pegawai Daerah Mohd Fuad Abdullah. — JABATAN PENERANGAN SABAH