Warga Emas Maut, Lapan Cedera Dalam Kemalangan Van di Kunak

Warga Emas Maut, Lapan Cedera Dalam Kemalangan Van di Kunak

0
SHARE

KUNAK: Seorang lelaki warga emas berusia 74 tahun maut manakala lapan lagi cedera selepas sebuah van Toyota Hiace terbabas di Jalan Bukit Ular, laluan Kunak-Lahad Datu awal pagi tadi.

Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan diterima pada jam 7.19 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba Kunak dikerahkan ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira 30 minit kemudian.

“Mangsa warga emas tersebut ditemui tersepit di tempat duduk pemandu dan berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan hidraulik. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” kata seorang jurucakap dalam kenyataan media.

Mangsa yang cedera melibatkan lelaki berusia 46, 70 dan dua individu berusia 73 tahun, serta wanita berusia 51, 58, 72 dan 75 tahun.

Kesemua mangsa menerima rawatan awal di lokasi oleh pasukan Bomba dan petugas Kementerian Kesihatan sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.