KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menerima kunjungan hormat perpisahan daripada Ketua Pejabat Konsular Jepun bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, Konsul-Jeneral Encik Yamashita Yoshito di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, pada Selasa.
Kunjungan tersebut diadakan sempena tamatnya tempoh perkhidmatan Yamashita yang dijadual berakhir pada penghujung Mac tahun ini selepas berkhidmat selama dua tahun enam bulan di Sabah.
Turut mengiringi Yamashita dalam kunjungan itu ialah penggantinya, Encik Nakasuji Hisaki.
Dalam pertemuan berkenaan, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai hubungan kerjasama antara Sabah dan Jepun, khususnya dalam bidang pelaburan, pelancongan, ekonomi serta pembangunan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Hajiji turut merakamkan penghargaan atas peranan Yamashita dalam memperkukuh hubungan persahabatan dan kerjasama antara Jepun dan Sabah sepanjang tempoh beliau berkhidmat di negeri ini.
Hajiji pada masa sama, berharap hubungan baik tersebut akan terus diperkukuh demi manfaat bersama, termasuk menarik lebih ramai pelabur serta pelancong Jepun ke Sabah.






