
KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak 24 penyambungan paip haram di Kampung Suang Parai dan Kampung Brunei, Sepanggar dicantas Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) pada Ahad.
Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Ir. Shahelmy Yahya berkata petugas JANS sekali lagi mendapati bahawa berlakunya penyambungan haram kepada paip utama Kg Suang Parai pada awal minggu ini.
“Beberapa orang pegawai telah ditugaskan bagi memotong sambungan bekalan paip haram pada tengah hari Ahad.
“Operasi pemotongan sedang diteruskan,” katanya ringkas dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya sambungan haram itu merupakan antara faktor yang mempengaruhi jumlah bekalan tangki air utama Universiti Malaysia Sabah (UMS).
“JANS kini membuat pemantauan secaran konsisten berkenaan situasi itu sehingga Skim Vendor dapat disediakan sepenuhnya di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti,” tambahnya.