PESTA KAAMATAN MEMUPUK PERPADUAN RAKYAT BERBILANG KAUM: KM HAJIJI

PESTA KAAMATAN MEMUPUK PERPADUAN RAKYAT BERBILANG KAUM: KM HAJIJI

0
SHARE
Jeffrey
Tinbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri (tengah), Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan melakukan upacara menuai padi sempena pelancaran Pesta Kaamatan 2023 di Dewan Seri Sulaman, Tuaran ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

TUARAN, SABAH – Sambutan acara kebudayaan seperti Pesta Kaamatan mampu menjadi platform untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata perayaan ini juga menjadi platform untuk mempromosikan kesepaduan sosial dan membantu membina jambatan persefahaman antara masyarakat etnik yang berbeza.

Selain itu katanya, Pesta Kaamatan juga adalah peluang bagi masyarakat Kadazandusun Murut dan Rungus untuk mempamerkan tradisi dan adat tradisi mereka, sama ada melalui tarian, muzik, serta pakaian tradisional.

“Kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada sambutan dan program kebudayaan serta keagamaan. Kita percaya program kebudayaan dapat memantapkan lagi perpaduan masyarakat yang berbilang kaum dan memberi peluang untuk kita mengenali, memahami serta menghargai adat dan budaya suku kaum masing-masing.

“Kepelbagaian budaya dan warisan dengan keharmonian 35 etnik dan 217 subetnik di Sabah telah menjadikan ‘Negeri Di Bawah Bayu’ sebagai bumi yang unik bagi setiap rakyat dan tetamu yang bertandang ke negeri ini.

“Justeru, ini amat signifikan dengan usaha kerajaan untuk memartabatkan warisan kebudayaan dan kesenian rakyat tempatan. Budaya merupakan aspek penting dalam kehidupan kita yang menjadi identiti sesuatu etnik dan harus dipelihara serta dimartabatkan untuk kepentingan semua,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Pelancaran Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Seri Sulaman, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan.

Beliau berkata Pesta Kaamatan ini bukan sahaja bertujuan menyatakan rasa kesyukuran di atas hasil tuaian yang baik tetapi juga memberi peluang kepada saudara mara untuk berkumpul dan mengeratkan silaturahim serta perpaduan.

“Semangat persaudaraan, persahabatan dan perpaduan yang selama ini menjadi amalan hidup kita, terus diperkukuhkan dan dimantapkan lagi sesuai dengan semangat Malaysia Madani, menerusi perayaan ini.

“Sepanjang tempoh sebulan ini, pastinya banyak sambutan Kaamatan yang akan diadakan dalam pelbagai peringkat di seluruh negeri.

“Oleh itu, saya mengajak semua pihak untuk sama-sama menyertai dan menjayakan sambutan Tadau Kamaatan di peringkat daerah, kampung mahu pun organisasi masing- masing.

“Saya berharap semangat perayaan Pesta Kaamatan ini akan terus kita hayati demi kestabilan, keamanan, persahabatan serta kemakmuran negeri dan rakyat pada keseluruhannya,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji juga meminta agar kumpulan etnik dan subetnik di seluruh Sabah meningkatkan usaha mereka untuk mempromosikan dan mempamerkan budaya masing-masing.

“Berbanggalah dengan identiti budaya kita yang diwarisi sejak turun-temurun. Kekalkan kelangsungan bukan sahaja identiti budaya malah bahasa etnik masing-masing untuk anak bangsa akan datang.

“Saya berasa gembira kerana ada kesedaran oleh banyak kumpulan etnik untuk menyokong usaha kerajaan dalam mengekalkan tradisi etnik dan pada masa yang sama mempromosikan kepelbagaian budaya yang amat kita banggakan di Sabah,” katanya.

Beliau turut berasa gembira kerana rakyat telah menyokong usaha kerajaan dalam setiap aspek pembangunan di negeri ini.

“Saya menyeru rakyat untuk terus bersama kami sebagai rakan kongsi dalam usaha ini dan bersama kerajaan mengekalkan kestabilan politik serta kemajuan ekonomi demi kelancaran pembangunan di negeri ini,” katanya.