KINABATANGAN: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia selepas tiga hari dikhuatiri lemas ketika jatuh dari feri Ahad lalu.
Mayat mangsa, Antonius Permisi, 45 tahun ditemui oleh Pasukan Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan dan Sandakan pada jam 10.30 pagi kelmarin dengan jarak 100 meter dari lokasi dilaporkan jatuh.
Komander Operasi BBP Kinabatangan, Mohd Norazmer Mat Sahor Nasir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 1.22 petang Ahad lalu.
“Menurut pengadu pada jam 9.55 pagi terdapat seorang mangsa (warganegara Indonesia) yang merupakan pekerja feri terjatuh dari dari Feri mengangkut barang semasa menyeberang sungai,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Dalam pada itu katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pada jam 6.30 pagi menggunakan dua buah bot orang awam dengan kaedah water surface searching menyelusuri sungai bersama agensi lain dan orang awam.
“Mayat mangsa yang ditemui pada jam 10.30 pagi kelmarin itu seterusnya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Setelah memastikan tiada lagi bahaya lain yang wujud operasi kemudian ditamatkan pada jam 11 pagi.