Polis Penampang Rampas Lebih 1.4 kg Dadah, Tahan Lelaki 26 Tahun

Polis Penampang Rampas Lebih 1.4 kg Dadah, Tahan Lelaki 26 Tahun

0
SHARE

PENAMPANG: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun serta merampas pelbagai jenis dadah dalam satu operasi khas di sebuah kondominium di daerah ini pada petang 11 Februari 2026.

Lelaki itu ditahan selepas cuba melarikan diri, tetapi pihak polis berjaya membekasnya tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati 10 paket plastik lut sinar berisi ketulan kristal disyaki ketamin seberat anggaran 512.30 gram, 28 paket plastik mengandungi serbuk disyaki ekstasi dengan berat kasar keseluruhan 944.43 gram.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah dianggarkan 1,456.73 gram dengan nilai pasaran kira-kira RM47,400,” katanya.

Selain itu, polis turut merampas wang tunai RM700, sebuah telefon bimbit dan beberapa kad akses premis.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan ketamin.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan, serta Seksyen 15(1)(a) Akta sama,” Sammy berkata.

Pihaknya menasihatkan masyarakat supaya menjauhi dadah dan segera melaporkan sebarang maklumat berkaitan jenayah atau dadah kepada pihak polis.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa yang terlibat,” katanya.