KOTA KINABALU: Mantan Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Robert Tawik, menyifatkan kritikan terhadap Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dr Musa Haji Aman berikutan kunjungan rombongan Miss World 2025 ke Istana Negeri sebagai tidak wajar dan berunsur politik sempit.
Robert berkata, TYT adalah simbol perpaduan rakyat Sabah dan lawatan delegasi antarabangsa adalah amalan biasa sebagai tanda penghormatan rasmi.
“Kedatangan Miss World bukan lawatan kosong. Ia membuka ruang promosi Sabah di peringkat global dan membawa sumbangan kebajikan yang terus dirasai rakyat,” katanya.
Beliau merujuk sumbangan RM300,000 bagi pembinaan kelas Sabah Autism Society di Tuaran dan RM20,000 kepada Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Kota Kinabalu sebagai contoh manfaat nyata lawatan itu.
Robert menegaskan TYT tidak terlibat dalam politik kepartian dan serangan terhadapnya boleh menjejaskan imej serta kestabilan negeri.
Beliau menggesa semua pihak menghentikan polemik tidak perlu dan menumpukan usaha kepada pembangunan dan perpaduan rakyat.
“Perkara baik tidak seharusnya dijadikan modal politik sempit,” katanya.






