PM Setuju Luluskan Pemanjangan BIW Kepada Anggota ATM

PM Setuju Luluskan Pemanjangan BIW Kepada Anggota ATM

0
SHARE
Anwar
Anwar beramah mesra dengan anggota ATM ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

PUTATAN, SABAH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pihaknya bersetuju untuk meluluskan pemanjangan Bayaran Insentif Wilayah (BIW) kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, kelulusan tersebut bakal memanfaatkan 33,586 anggota ATM dengan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM87.8 juta setahun berdasarkan perjawatan tahun 2022.

Mengulas lanjut, Anwar berkata kadar Bayaran Insentif Sabah Sarawak (BISS) dan Bayaran Insentif Semenanjung (BISM) adalah rendah jika dibandingkan dengan kadar BIW.

“Selama ini pegawai dan anggota ATM yang bertukar wilayah menerima BISS dan BISM.
Namun, kadar BISS dan BISM yang diberikan adalah lebih rendah berbanding kadar BIW yang diterima oleh pegawai perkhidmatan awam lain.

“Sedangkan asas pembayaran ketiga-tiga insentif adalah sama iaitu untuk menampung kos sara hidup yang tinggi serta sebagai galakan pegawai dari semenanjung untuk berkhidmat di Sabah atau Sarawak dan sebaliknya.

“Maka, kerajaan bersetuju memanjangkan BIW menggantikan BISS dan BISM untuk manfaat pegawai dan anggota ATM berkuat kuasa 1 Julai ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Ramah Mesra Bersama Bersama Warga ATM Markas 5 Briged Kem Lok Kawi, di sini.

Turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya dan Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman.

Ketika berucap, Anwar turut mengumumkan projek baharu pembangunan semula 49 unit rumah terbiar untuk dijadikan 47 unit kuarters awam dan sebuah Rumah Transit Kementerian Pertahanan cawangan Sabah di Taman Lok Kawi bernilai RM25 juta.

Bagi projek sedia ada, beliau juga berkata pihaknya bersetuju memperuntukkan pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Pelbagai Kelas Kem Lok Kawi sebanyak RM213 juta.

Sebanyak RM4.8 juta diperuntukkan untuk membaik pulih dan menaik taraf Aviari di Taman Hidupan Liar Lok Kawi dan RM67 juta bagi menaik taraf Jalan Lok Kawi dari bulatan Sabindo ke sungai Kinarut.

Disamping itu, Anwar juga tidak ketinggalan mengumumkan pembinaan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lok Kawi bernilai RM23 juta yang akan dimulakan dengan kadar segera.