Setiap Kementerian, Jabatan Dan Agensi Negeri Diminta Memantau Tahap Prestasi Syarikat Bawahan

Setiap Kementerian, Jabatan Dan Agensi Negeri Diminta Memantau Tahap Prestasi Syarikat Bawahan

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Setiap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri diminta melihat semula tahap prestasi anak-anak syarikat sama ada masih relevan dalam menyumbang keberhasilan negeri ataupun sebaliknya.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Datuk (Datu) Rosmadi Datu Sulai, JP, berkata, langkah ini bertepatan dengan perancangan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri pada tahun depan yang memfokuskan kepada indikator baharu yang lebih sistematik dan mampu memberi pulangan besar terhadap pembangunan negeri ini.

“Tahun depan kita cadang cipta beberapa jabatan strategik baharu bagi menambah pendapatan negeri menerusi penerokaan bidang baharu, sekaligus merancakkan pembangunan ekonomi negeri.

“Mana-mana anak syarikat di bawah kerajaan negeri tidak mempunyai pencapaian yang memuaskan, sudah tiba masanya untuk kita gantikan syarikat baharu yang mampu memberi nilai tambah kepada pendapatan negeri bergantung dengan kemampuan kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bengkel Merangka Inisiatif Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 : 2021-2025 Bagi Tahun 2022 dan 2023, di sini, pada Selasa lepas.

Jelas Rosmadi, inisiatif pembaharuan itu juga bersesuaian dengan pemboleh daya pelan pembangunan Sabah Maju Jaya yang turut menekankan aspek pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat.

Justeru, beliau cukup yakin bahawa pengurusan tertinggi kementerian mahupun jabatan sentiasa mempunyai pandangan ke hadapan dalam menjana idea baharu demi memajukan negeri ini.

Sementara itu, lebih 100 peserta hadir pada bengkel merangka inisiatif pelan pembangunan SMJ terdiri dari Setiausaha-Setiausaha Tetap Kementerian, Ketua-Ketua Jabatan di bawah Jabatan Ketua Menteri, Pegawai-Pegawai Daerah, Presiden Majlis Perbandaran, Ketua Agensi Kerajaan Negeri, serta pegawai-pegawai SMJ.

Ketika berucap, Rosmadi yang juga Ketua Sekretariat SMJ mengingatkan semua penjawat awam supaya melaksanakan tanggungjawab dalam menjayakan inisiatif SMJ demi kesejahteraan rakyat.

Pada majlis itu, turut diadakan pelancaran portal rasmi Sekretariat SMJ serta Buku Garis Panduan GRP Sabah.

Hadir sama, Peguam Besar Negeri Sabah Datuk Nor Asiah Mohd Yusof, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran) Doris William @ Hajah Diyanah Abdullah, Setiausaha Tugas-Tugas Khas Sapdin Ibrahim, dan Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan) merangkap Timbalan Ketua Sekretariat SMJ Ramlee Kariah.