LABUAN – Seluruh jentera Parti Amanah Negara (AMANAH) Bahagian Labuan hari ini mengumumkan meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta, menyatakan kerenah birokrasi dan layanan tidak adil oleh pemimpin parti peringkat pusat sebagai alasan utama mereka mengambil keputusan itu.
Peletakan jawatan secara mengejut itu turut membabitkan sayap Wanita dan Pemuda dan 33 pemimpin cawangan bersama-sama ahli jawatankuasa mereka, yang membawa kepada pembubaran AMANAH Bahagian Labuan.
AMANAH melebarkan sayapnya di Labuan pada 2018 dan mengadakan pemilihan pertama pada Februari 2019.
Memetik laporan Bernama, Chemat Mustapha iaitu individu yang sebelum ini mengetuai bahagian itu berkata, peletakan jawatan itu disebabkan pemimpin parti pusat kurang memberi tumpuan pada AMANAH Bahagian Labuan.
“Kami telah hilang keyakinan terhadap pucuk pimpinan Amanah dalam mengendalikan isu-isu dalaman parti dan juga disebabkan perebutan dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) ketika ini berhubung jawatan perdana menteri …kami sudah tidak yakin dengan masa depan Amanah dan perjuangannya untuk membela rakyat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.