Seluruh Sarawak Kini Berada Dalam Status Hijau COVID-19

Seluruh Sarawak Kini Berada Dalam Status Hijau COVID-19

0
SHARE
Datuk Amar Douglas Uggah Embas...

KUCHING, SARAWAK – Seluruh Sarawak kini berada dalam status Hijau dengan bilangan kes positif COVID-19 di negeri ini kurang dari 10 kes, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, ia bertukar hijau apabila Kuching, satu-satunya daerah di negeri ini yang berada dalam Zon Kuning berubah kepada Zon Hijau setelah 14 hari tidak merekodkan sebarang kes positif.

Selain itu, beliau yang dipetik Bernama berkata bahawa Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak (MLGH) telah menambah baik garis panduan untuk aktiviti sektor peruncitan iaitu dobi, kedai pakaian, aksesori fesyen dan pawagam yang berkuat kuasa serta merta.

“Manakala guru yang masuk ke Sarawak setelah balik bercuti, tidak akan dikuarantin dan semua pelawat yang melintasi negara Brunei melalui darat (merentas sempadan) tidak perlu mendapatkan Kelulusan JPBN dan polis…

“Namun, bagi mereka yang telah bermalam atau memasuki negara Brunei (secara) transit melalui  udara di Brunei, mereka masih memerlukan kelulusan JPBN untuk masuk ke Sarawak,” katanya pada sidang media harian JPBN di Dewan Undangan Negeri Lama, Petra Jaya di sini.

Uggah berkata, JPBN masih mewajibkan mereka yang pulang dari luar negara untuk menjalani ujian tindak balas berantai polimeras (PCR) semasa ketibaan dan dikuarantin sehingga keputusan ujian mereka negatif, sebelum dibenarkan menjalani kuarantin di rumah serta diambil sampel kedua pada hari ke-10.