KOTA KINABALU, SABAH – Perpaduan dalam kalangan masyarakat adalah teras kemajuan dan kejayaan sesebuah negara.
Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin berkata kemajuan, kejayaan dan kenikmatan hidup hanya mampu direalisasikan apabila wujudnya perpduan dalam kalangan umat Islam itu sendiri.
“Oleh yang demikian, kesejahteraan ummah mahupun negara menuntut keikhlasan dan istiqamah semua pihak bagi memastikan semangat perpaduan dan persefahaman di kalangan komuniti terus terpelihara.
“Dalam kerangka ini, usaha perlu terus dilakukan bagi mengkaji sirah Rasulullah SAW secara mendalam dan teliti, disulami rujukan yang muktabar bagi menimba lebih banyak petunjuk yang membawa dan memandu umat ke arah lebih maju dan selari dengan syariat Allah SWT.
“Justeru, manusia sehingga kini terus mengambil pengajaran dan teladan daripada diri baginda SAW dan sejarah hidupnya sebagai sumber inspirasi dan pedoman hidup untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat,” ujar beliau ketika menyampaikan perutusan dalam Majlis Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1445H/2023M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), semalam.
Beliau turut mengingatkan akan perlunya melahirkan rasa cinta kepada penghulu segala nabi itu dan beriltizam untuk memahami dan menyelami keperibadian Rasulullah sebagai contoh teladan terbaik bagi manusia.
Tun Juhar turut mengajak masyarakat agar menzahirkan rasa kasih sayang dan kecintaan yang tidak berbelah bahagi kepada Nabi Muhammad SAW dengan mencontohi akhlaknya yang mulia selain memperbanyak mengucapkan selawat dan salam sebagai tanda ingatan kepada Baginda. — JABATAN PENERANGAN SABAH