KUALA LUMPUR: Seorang anggota Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) yang berpangkalan di Kem Kidurong, Bintulu didapati hilang ketika bertugas di Limbang bersama Jabatan Pengukuran dan Pemetaan Sarawak (JUPEM).
Memetik MG, mangsa Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim didapati hilang ketika menjalankan tugas dalam Op UKUR.
Op UKUR merupakan operasi yang dijalankan di bawah kawalan Markas Sempadan 31 Briged yang melibatkan penempatan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) sebagai pengiring keselamatan kepada pasukan JUPEM yang sedang menjalankan aktiviti menanda dan mengukur sempadan Malaysia-Brunei Darussalam di kawasan itu.
Ulu Tutong (E500) ke kawasan ukuran Bebuloh (E600), Limbang dari 11 Jun hingga 2 September 2024.
“Ketiadaan anggota diketahui pada 18 Jun lalu apabila ketua kumpulan mendapati anggota tidak berada di belakang kumpulan itu,” kata kenyataan Sel Perkhidmatan Awam Tentera Darat, semalam.
Insiden itu berlaku di kedudukan dua kilometer di atas sempadan Malaysia-Brunei yang melintasi dari penanda sempadan E500 menghala ke E600.
Usaha mencari dan menjejaki anggota segera dilakukan kumpulan yang terdiri daripada dua anggota TDM dan lima anggota JUPEM namun gagal menemui mana-mana ahli.
Usaha pencarian juga telah dilancarkan oleh TDM bermula 19 Jun lalu di kawasan itu melibatkan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan agensi awam lain yang diselaraskan oleh MKN iaitu PDRM dan bomba.
Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) juga telah mengatur pergerakan aset mereka untuk membantu usaha pencarian bersama TDM.
“Diharap anggota terbabit selamat ditemui dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu misi pencarian ini dan menjaga perasaan anggota terbabit,” tambah kenyataan itu.