KPSTI Sabah Perhebat Akses Internet Sekolah Luar Bandar Bermula Tahun Hadapan

KPSTI Sabah Perhebat Akses Internet Sekolah Luar Bandar Bermula Tahun Hadapan

0
SHARE

PAITAN: Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) akan terus memperhebat usaha menyediakan kemudahan akses internet ke sekolah-sekolah di Sabah bermula tahun hadapan, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman yang masih belum menikmati liputan internet.

Menterinya, Datuk James Ratib, berkata inisiatif itu penting bagi memastikan tiada murid atau pelajar tercicir daripada arus pendidikan digital selaras dengan perkembangan teknologi dan keperluan pembelajaran semasa.

Menurut beliau, sepanjang tahun ini kira-kira 300 buah sekolah di seluruh negeri telah dilengkapi dengan peranti satelit Starlink bagi memudahkan capaian internet serta menyokong proses pengajaran dan pembelajaran.

“Kita tidak mahu lagi ada murid atau pelajar yang berdepan kesukaran mendapatkan akses internet. Usaha ini akan diteruskan dan diperluaskan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata, kemudahan Starlink bukan sahaja memberi manfaat kepada sekolah, malah berpotensi diperluaskan kepada komuniti setempat menerusi inisiatif e-Desa, khususnya di kampung-kampung yang masih belum mempunyai liputan internet.

Datuk James yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Krismas dan Tahun Baharu Peringkat Daerah Paitan, di sini, Sabtu lalu.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengerusi Bersama yang mewakili gereja-gereja daerah Paitan, Rev. Justin Sansalu serta Pegawai Daerah Paitan merangkap Pengerusi Penganjur, Joloning Joe Majambu.

Menyentuh mengenai sambutan perayaan itu, Datuk James berkata perayaan pelbagai kaum dan agama di Sabah terus menjadi platform penting dalam memupuk keharmonian, perpaduan dan sikap saling menghormati dalam kalangan masyarakat.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kawasan Sugut di daerah Paitan, Beluran yang disenaraikan antara 10 kawasan termiskin di negara, menjadi antara keutamaan beliau untuk dibangunkan dan dibawa keluar daripada garis kemiskinan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Terdahulu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada penduduk setempat atas kepercayaan yang diberikan untuk terus mewakili kawasan Sugut, selain mengajak semua pihak berganding bahu memastikan Paitan dan Sugut terus maju seiring pembangunan semasa.

Sementara itu, Rev. Justin Sansalu berkata tema sambutan Krismas tahun ini mengajak masyarakat menghayati nilai kemanusiaan sejagat seperti kedamaian, kasih sayang dan harapan, di samping mengekalkan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan budaya.

Joloning Joe Majambu pula berkata sambutan perayaan secara bersama mencerminkan kematangan serta kesyukuran masyarakat setempat dalam meraikan kepelbagaian budaya dan agama dalam suasana aman dan harmoni.