
KOTA KINABALU, SABAH – Program Vaksinasi Bandaraya Kota Kinabalu ‘Jumpa terus’ (Walk-In) memberi impak positif buat warga Pusat Bandar Kota Kinabalu khususnya apabila telah membuka hati seorang pengawal keselamatan untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.
Rahmat Laminda, 42, berkata, walaupun sudah lama mengetahui tentang Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) tetapi tidak terdetik sedikit pun di hatinya untuk mendaftarkan diri dalam ‘Mysejahtera’ dan sekali gus mendapatkan suntikan vaksin itu.
“Saya sudah mengetahui mengenai program PICK seawal bulan Mac lagi tetapi berbagai-bagai perkara buruk mengenai vaksin yang tular di media sosial dan dikongsikan oleh rakan-rakan menyebabkan saya ragu-ragu dan takut mengambil vaksin…
“Saya juga risau penyakit darah tinggi dan masalah usus yang saya alami akan bertambah teruk selepas pengambilan vaksin kerana kurang maklumat yang tepat mengenai kesan pengambilan vaksin.
“Empat hari terakhir ini, tidur saya sangat terganggu dan setelah memikirkan baik buruk yang berlaku kepada diri sendiri dan keluarga sekiranya tidak mengambil vaksin, saya akhirnya mengambil keputusan untuk datang ke pusat ini,” ujarnya.

Bapa kepada empat orang cahaya mata ini turut menasihatkan orang ramai agar mendapatkan khidmat nasihat daripada doktor atau pakar bidang sekiranya mempunyai keraguan terhadap vaksin dan jangan terlalu taksub dengan berita-berita yang tidak sahih.
Tambahnya, adalah lebih baik kita mendapatkan maklumat sahih daripada media sosial kerajaan seperti Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Penerangan Malaysia dan sebagainya.
Sementara itu, pekerja kontrak, Bernard Torres, 47, bersyukur apabila program seumpamanya diadakan di pusat bandar kerana kedudukan yang strategik dan lebih mudah mendapatkan pengangkutan awam.

“Sebenarnya saya dan isteri sudah mendaftar dalam aplikasi Mysejahtera tetapi belum mendapat sebarang maklum balas…
“Jadi sebaik sahaja mendapat tahu tentang program ini melalui rakan yang sudah mendapatkan suntikan vaksin di sini pagi tadi, saya terus membawa isteri datang ke sini.
“Saya bersyukur kerana akhirnya dapat menerima suntikan vaksin hari ini memandangkan sudah beberapa kali saya terlepas peluang disebabkan lambat mendapat maklumat,” katanya lagi.

Sementara itu, Penyelaras Program Vaksinasi Bandaraya Kota Kinabalu ‘Jumpa terus’ (Walk-In), Saiman Angak berkata, seramai 476 individu telah menerima suntikan dos pertama dalam program tersebut yang bermula 8:30 pagi sehingga 4:00 petang.

Saiman yang juga merupakan Pengarah Jabatan Pengangkutan dan Trafik, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) turut menyeru orang ramai agar mengambil peluang untuk datang ke program tersebut yang bermula hari ini sehingga 1 September.