SANDAKAN: Seorang nelayan warga Filipina maut manakala dua lagi rakan senegaranya berjaya diselamatkan selepas bot yang mereka naiki terbakar berhampiran Pulau Taganak, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Sabah, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, kejadian berlaku sekitar jam 2.05 petang apabila Kapal Maritim (KM) BANGGI yang dalam pelayaran ke Sandakan mengesan kepulan asap hitam kira-kira lima batu nautika timur laut perairan Filipina.
“Pasukan penyelamat segera digerakkan dan berjaya menemui tiga mangsa berpaut pada serpihan kayu pada jam 2.52 petang.
“Ketiga-tiga mangsa berjaya diselamatkan, namun seorang daripadanya disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya.
Mangsa dikenal pasti sebagai Hajar Ganih yang cedera di kaki, Adamin yang selamat, manakala Fattah Asa disahkan meninggal dunia.
Difahamkan lapan lagi kru bot berkenaan telah diselamatkan bot tempatan dan dibawa ke Pulau Bakungan Besar.
“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak berkuasa Filipina dengan koordinasi Maritim Malaysia bersama Philippine Navy dan Philippine Coast Guard,” tambahnya.
Kejadian itu, menurut Khairulanuar, membuktikan kecekapan aset Maritim Malaysia dalam memberi tindak balas pantas terhadap kecemasan di laut.






