Pembubaran Parlimen, Serah Semula Mandat Kepada Rakyat – PM

Pembubaran Parlimen, Serah Semula Mandat Kepada Rakyat – PM

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan yang berkuat kuasa mulai hari ini.

Menurutnya, ia selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengumuman terbabit dilakukan menerusi Perutusan Khas yang disiarkan secara langsung, hari ini.

“Dengan ini dimaklumkan, bahawa tengah hari semalam, saya telah menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menyembah warkah permintaan kepada Baginda, mengenai pembubaran Parlimen Ke-14…

“Selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, telah bertindak menurut budi bicara Baginda dengan memperkenankan permintaan saya, supaya Parlimen Ke- 14 dibubarkan pada hari ini, Isnin 10 Oktober 2022,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob umum pembubaran Parlimen menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung menerusi siaran televisyen dan media dalam talian pada jam 3 petang hari ini (10 Okt 2022)…

Dalam pada itu, beliau turut berkata dengan pengumuman ini, mandat akan dipulangkan semula kepada rakyat untuk menentukan kerajaan seterusnya yang bakal mengemudi negara.

“Mandat rakyat adalah penawar ampuh bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15…

“Proses ini berlandaskan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sebagai pasak pemerintahan, sejak negara mencapai kemerdekaan.

“Pembubaran ini dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.

“Semoga rakyat menggunakan kuasa yang ada pada mereka, untuk memilih kerajaan yang mampu meneruskan pelaksanaan Bajet Keluarga Malaysia 2023, mengekalkan kestabilan politik, memulih dan mengukuh ekonomi serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia yang berbilang agama, kaum dan etnik,” katanya.