KOTA KINABALU, SABAH – Sukan Bola Sepak membuka gelanggang pertandingan Sukan Sabah (SAGA) edisi ke-10 dengan lapan perlawanan pada Sabtu.
Memulakan perlawanan pada sebelah pagi adalah Kumpulan Lelaki A dari daerah Tuaran bertemu Telupid di Padang SUKMA A manakala kumpulan Lelaki B, pasukan daerah Membakut bertemu Tenom di padang SUKMA B.
Cabaran kumpulan turut tertumpu pada perlawanan kumpulan bagi pasukan wanita dari Beaufort bertemu Kota Belud di Padang KSKK A manakala Telupid bertemu Ranau di Padang Ragbi A.
Pada sebelah petang, perlawanan peringkat kumpulan dimulakan pada jam 4 petang dengan Lelaki A, Bandaraya Kota Kinabalu bertemu Penampang manakala Lelaki B pasukan Tawau bertemu Kota Belud di Padang SUKMA B.
Pasukan wanita Penampang turut memulakan cabaran dengan bertemu pasukan Tenom manakala pasukan wanita Tawau bertemu pasukan Bandaraya Kota Kinabalu.
Bola Sepak merupakan antara 10 sukan wajib yang menawarkan pingat bagi acara berkumpulan SAGA ke-10 yang bermula 16 hingga 22 Disember ini. — JABATAN PENERANGAN SABAH