Ambil Serius Gangguan Seksual Di Tempat Kerja

Ambil Serius Gangguan Seksual Di Tempat Kerja

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

KUCHING, SARAWAKPihak pengurusan dan kakitangan Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) diminta memandang serius isu gangguan seksual yang berlaku di tempat kerja.

Gesaan tersebut disuarakan oleh Setiausaha Tetap MOTS Datuk Ir Alice Jawan Empaling sambil menambah, mereka perlu mengambil langkah proaktif selain tidak mengetepikan sebarang aduan berkaitan isu tersebut.

“Diharapkan agar program kesedaran seperti ini lebih giat dijalankan bagi memupuk kesedaran warga MOTS terhadap isu salah laku integriti dalam organisasi…

“Di samping itu ia juga bagi menyokong hasrat Kerajaan Sarawak membudayakan integriti dalam Perkhidmatan Awam Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Pengendalian Gangguan Seksual di Tempat Kerja di salah sebuah hotel di sini, semalam.

Datuk Ir Alice Jawan Empaling (tengah) merakam kenangan bersama peserta Program Pengendalian Gangguan Seksual di Tempat Kerja…

Berhubung program berkenaan, Alice berkata seramai 65 kakitangan MOTS menghadiri taklimat yang disampaikan oleh Pegawai Tadbir Unit Pembangunan dan Pengurusan Sumber Manusia, Jabatan Premier Sarawak Jessie Melling.

Katanya, objektif program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang gangguan seksual.

“Sementara itu, ia juga bagi memberikan pendedahan kepada orang awam mengenai kesan terhadap mangsa dan sokongan yang boleh diberikan selain tindakan yang boleh diambil jika gangguan seksual berlaku di tempat kerja,” katanya.