Maxim dan InDrive Diarah Berhenti Beroperasi Mulai Julai

Maxim dan InDrive Diarah Berhenti Beroperasi Mulai Julai

0
SHARE

KOTA KINABALU: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengeluarkan surat arahan menghentikan operasi kepada dua aplikasi e-hailing dari Rusia, iaitu InDrive dan Maxim kerana didakwa beroperasi secara haram di negara ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata berkuat kuasa 24 Julai, InDrive dan Maxim perlu menghentikan operasi mereka di Malaysia.

“Kedua-dua syarikat ini boleh mengemukakan rayuan, tetapi keputusan muktamad terletak di tangan saya,” katanya memetik laporan Bernama.

Beliau ditemui media selepas merasmikan pembukaan semula laluan perkhidmatan kargo Kempas Baru–Pasir Gudang, di Johor Bahru, hari ini.

Pada Isnin, Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia dilaporkan telah menggesa kerajaan mengambil tindakan penguatkuasaan tegas terhadap dua platform e-hailing tersebut.

Mereka mahukan akses kepada aplikasi terbabit disekat kerana menawarkan perkhidmatan tanpa mematuhi peraturan di bawah undang-undang sedia ada.

Persatuan itu mendakwa kedua-dua platform tersebut gagal memastikan pemandu mereka memiliki Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang sah, seperti yang diwajibkan oleh undang-undang Malaysia.

Selain itu, ada juga dakwaan bahawa sebahagian pemandu yang menggunakan aplikasi tersebut tidak mempunyai insurans e-hailing dan tidak menjalani pemeriksaan kenderaan seperti yang ditetapkan dalam terma dan syarat operasi.

Menurut APAD, kedua-dua syarikat e-hailing itu melanggar syarat pelesenan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), termasuk keperluan semua kenderaan di bawah platform mereka memiliki Permit Kenderaan E-Hailing yang sah, salah satu syarat utama di bawah Lesen Perniagaan Pengantaraan mereka.

Pelanggaran ini merupakan kesalahan di bawah Seksyen 12D(1)(a) akta berkenaan, yang memberikan kuasa kepada APAD untuk membatalkan lesen mana-mana operator yang melanggar syarat lesen mereka.