Sudah Tiba Masanya Industri Tenaga Sabah Patuh MVIP – Dr. James Lim

Sudah Tiba Masanya Industri Tenaga Sabah Patuh MVIP – Dr. James Lim

0
SHARE

KOTA KINABALU: Industri tenaga di Sabah perlu segera beralih kepada pendekatan pengukuran dan pengesahan yang telus dan berwibawa dengan mengguna pakai Protokol Antarabangsa Pengukuran dan Pengesahan (MVIP), kata Penasihat Teknikal (Tenaga) kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr. James Lim.

“Sudah tiba masanya industri tenaga Sabah mematuhi MVIP kerana ia adalah langkah penting dalam memastikan penjimatan tenaga dapat diukur, dilaporkan dan disahkan dengan tepat – faktor utama dalam membina keyakinan terhadap usaha kelestarian tenaga.”

Dr. James menyatakan demikian semasa menerima kunjungan hormat delegasi Bureau Veritas Malaysia, yang diketuai oleh Ketua Jabatan Pembangunan Perniagaannya, Mustafa Kamal Muda, di Pejabat Ketua Menteri, Menara Kinabalu pada 25 April lalu.

Kunjungan itu menjadi platform untuk membincangkan potensi kerjasama strategik dalam pembangunan sektor tenaga negeri, termasuk tenaga boleh diperbaharui, pematuhan infrastruktur minyak dan gas serta amalan tenaga mampan.

Delegasi Bureau Veritas turut berkongsi kepakaran mereka dalam jaminan kualiti, pematuhan piawaian keselamatan dan kesihatan serta kelestarian alam sekitar selari dengan aspirasi Sabah ke arah masa depan tenaga hijau.

Sebagai rujukan, MVIP merupakan rangka kerja piawai antarabangsa di bawah Protokol Pengukuran dan Pengesahan Prestasi (IPMVP), yang menyediakan metodologi tersusun untuk mengesahkan prestasi tenaga secara telus dan berwibawa. Ia telah digunakan secara meluas di peringkat global.

Bureau Veritas menyatakan komitmen mereka untuk menyokong aspirasi tenaga Sabah melalui penyediaan kepakaran teknikal, pensijilan serta penyelesaian inovatif, selain mencadangkan pelaksanaan program latihan dan pembangunan kapasiti tenaga kerja tempatan.