Penjawat Awam Tulang Belakang Pentadbiran Negara, Negeri – Makhzan

Penjawat Awam Tulang Belakang Pentadbiran Negara, Negeri – Makhzan

0
SHARE
Mahkzan
Ucapan perasmian yang disampaikan oleh Makhzan ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Semua penjawat awam adalah tulang belakang kepada pentadbiran negara mahupun negeri.

Menurut Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Makhzan Mahyuddin, penjawat awam perlu memberikan perkhidmatan dengan penuh dedikasi dan komitmen agar semua urusan kerajaan berjalan dengan lancar.

“Semua lapisan penjawat awam mempunyai peranan masing-masing yang sangat penting dalam memastikan matlamat serta pelaksanaan dasar-dasar yang dirancang akan sampai kepada masyarakat.

“Sebagai penghubung di antara pihak kerajaan dan masyarakat, peranan penjawat awam tidak boleh dipandang remeh kerana setiap tindakan yang diambil akan mempengaruhi kehidupan masyarakat,” jelasnya.

Menurut beliau, dalam konteks kemerdekaan, penjawat awam perlu berintegriti dan profesional bagi memastikan hak serta kebajikan masyarakat akan terpelihara.

“Kesungguhan dan kebijaksanaan penjawat awam dalam menguruskan isu kemiskinan, pendidikan serta kesihatan sangat dihargai dan diharapkan dapat memacu transformasi yang positif untuk negara.

“Sikap yang positif, ikhlas serta proaktif dari penjawat awam mampu mendorong rakyat untuk turut sama memainkan peranan dalam pembangunan negara,” ujar beliau ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan Hari Sabah di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah (KPKPS) 2024.

Selain itu, Makhzan juga menyeru penjawat awam agar merenung kembali pengorbanan generasi terdahulu dengan dengan mengisi kemerdekaan ini dengan pencapaian yang membanggakan.

“Teruskanlah bekerja dengan penuh semangat dan kecemerlangan, kerana setiap usaha penjawat awam merupakan satu sumbangan kepada negara.

“Ingatlah bahawa tugas sebagai penjawat awam adalah sebahagian daripada perjalanan menuju kemajuan dan keharmonian negara,” katanya lagi.

Pada majlis itu, Makhzan turut menyambut ketibaan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) di kawasan perkarangan KPKPS.

Sebanyak 20 jabatan dan agensi persekutuan menerima Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Sabah pada majlis tersebut.

Sebagai simbolik destinasi persinggahan konvoi, beliau menandatangani buku catatan perjalanan Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) seterusnya melakukan flag off. — JABATAN PENERANGAN SABAH