KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menegaskan bahawa penjawat awam perlu berubah dan tidak boleh lagi bekerja secara sambil lewa demi memenuhi harapan rakyat.
“Penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dan berintegriti bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan mendesak bagi memastikan kepercayaan rakyat terhadap jentera kerajaan terus terpelihara,” katanya.
Ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri KKTP, Datuk Isnin Aliasnih pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Jasamu Dikenang 2024 semalam.
Beliau turut menyeru penjawat awam supaya melipatgandakan usaha, memperkukuh semangat berpasukan dan menjadikan nilai integriti sebagai teras dalam setiap tindakan.
Menurutnya, tema majlis tahun ini, Integriti Dipacu, Kecemerlangan Dibina, membawa makna mendalam dan wajar dijadikan pegangan warga kementerian.
“Tanpa integriti, pencapaian akan hilang nilainya. Ia bukan sekadar menjauhi salah guna kuasa, tetapi menuntut ketelusan, kejujuran dan kesetiaan kepada amanah rakyat,” ujarnya.
Dr. Joachim juga menekankan pentingnya mempercepat urusan yang melibatkan rakyat.
“Permudahkan urusan stakeholder kita, jangan jadi penghalang kepada kelancaran perkhidmatan awam,” katanya.
Majlis itu menyaksikan lima penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024, lapan penerima Anugerah Khas, serta pengiktirafan kepada Lembaga Bandaran Kudat sebagai PBT Cemerlang 2024.
Beliau turut merakam penghargaan kepada Setiausaha Tetap KKTP, Datuk Dr. Jamili Nais yang bakal bersara, menyifatkannya sebagai pemimpin berintegriti tinggi yang banyak menyumbang kepada kejayaan kementerian.
Dr. Joachim turut menyeru agar semua penjawat awam terus berkhidmat dengan semangat berpasukan, keikhlasan dan jiwa rakyat yang tulen demi kelangsungan pembangunan negeri.