KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri Sabah kekal komited sepenuhnya dalam melaksanakan semua hak perlembagaan dan perundangan untuk mendapatkan semula pembayaran Cukai Jualan Negeri (SST) daripada Hibiscus Petroleum Berhad.
Ianya dilaporkan oleh Edge Markets bahawa syarikat tersenarai dalam Bursa Malaysia itu termasuk anak syarikat milik penuhnya, Repsol Oil & Gas Ltd (Repsol) dan SEA Hibiscus Sdn Bhd (SEAH) tidak membayar cukai selama 20 bulan meskipun telah menggali sumber minyak daripada tanah Sabah.
Minyak mentah itu kemudian telah disalurkan dan akhirnya dijual di Wilayah Persekutuan Labuan.
Melalui cara ini, Hibiscus dapat mengelak daripada cukai dengan alasan penjualan dibuat di luar tanah Sabah.
The Edge melaporkan sebanyak 350,236 tong minyak mentah dijual dalam tempoh masa tersebut.
Memetik sumber sama, lembaga pengarah mendapati bahawa tindakan itu “berpatutan” dan “berazam untuk terus tidak membayar (SST)”.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, selaku Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Masidi Manjun berkata tindakan wajar akan diambil mengikut Enakmen Cukai Jualan Sabah 1988.
“Untuk rekod, kedua-dua Repsol dan SEAH telah memohon kepada Kementerian Kewangan dan kemudiannya telah dikeluarkan dengan lesen yang diperlukan, melayakkan mereka dicukai mengikut Peraturan Cukai Jualan Negeri, 1999.
“Oleh itu, Kerajaan Negeri secara mutlak menyangkal asas yang dikatakan di mana Repsol dan SEAH enggan membuat pembayaran SST dan telah pun menuntut pembayaran yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata terdapat perbincangan tanpa prejudis antara wakil-wakil parti berhubung isu tersebut.
“Bagaimanapun, perkara itu kini telah menemui jalan buntu dan kedua-dua syarikat kekal bertanggungjawab dan mempunyai kewajipan berterusan untuk membuat pembayaran bagi jumlah tertunggak SST, termasuk penalti.
“Kerajaan Negeri Sabah berhak untuk mengambil sebarang tindakan yang difikirkan perlu dalam bidang kuasa Negeri,” tegasnya…





