Tajaan Pendidikan Untuk Penjawat Awam Lanjut Pengajian – Arifin

Tajaan Pendidikan Untuk Penjawat Awam Lanjut Pengajian – Arifin

0
SHARE
Arifin
Arifin ketika ditemu media ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri memperluaskan tajaan pendidikan kepada penjawat awam yang berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke tahap lebih tinggi.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, tajaan berbentuk bantuan khas itu bertujuan untuk menyemarakkan lagi bidang pendidikan dalam kalangan Anak Sabah.

“Kita mahu pendidikan ini menjadi semarak dan menjadi salah satu budaya kepada semua termasuk kakitangan awam untuk menambah pengetahuan, tambah ilmu, tambah kecekapan.

“Ini termasuk kakitangan persekutuan yang berkhidmat di Sabah tetapi keutamaan kita adalah kakitangan kerajaan negeri…kakitangan federal boleh memohon yang penting pemohon mestilah Anak Sabah,” katanya ketika diminta mengulas mengenai bantuan pendidikan yang diperluaskan kepada kakitangan kerajaan.

Arifin yang juga Exco Pendidikan mendedahkan, setakat ini, seramai 100 orang penjawat awam telah menerima bantuan berkenaan dan kebanyakannya terdiri daripada golongan pendidik.

Arifin ditemui media selepas menyerahkan surat tawaran Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) kepada 250 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam Majlis Penyampaian Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah dan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah di Menara Kinabalu dekat sini, pada Jumaat.

Beliau diiringi oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri, Datuk Zainudin Aman yang juga Pengerusi Jawatankuasa BKNS serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran), Datuk Diyanah Abdullah.

Terdahulu, Arifin dalam ucapannya menjelaskan, biasiswa tersebut merupakan inisiatif murni Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang mahukan sektor pembangunan modal insan terus diperkasa.

Malah katanya, atas keprihatinan Pemimpin Nombor Satu Sabah itu juga jumlah dana pendidikan kini ditingkatkan sehingga RM113 juta sekaligus menyasarkan 11,800 pelajar menikmati kemudahan bantuan pendidikan terbabit. — JABATAN PENERANGAN SABAH