
KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri terus komited dalam usaha menoktahkan miskin tegar di negeri Sabah menjelang tahun 2024.
Ke arah usaha itu, kerajaan negeri melalui Sekretariat Sabah Maju Jaya, Jabatan Ketua Menteri telah dipertanggungjawabkan bagi menerajui dan menyelaras inisiatif serta program menoktahkan miskin tegar di negeri ini.
Selaras dengan itu, Sekretariat Sabah Maju Jaya (Sekretariat SMJ) bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah mengadakan Majlis Menandatangi Memorandum of Understanding (MoU) bagi Program Social Synergy bertempat di Pejabat Sekretariat Sabah Maju Jaya, Tingkat 15, Menara Kinabalu, semalam.
MoU yang ditandatangani pada Selasa merupakan kerjasama dalam memperkukuhkan Program Menoktahkan Miskin Tegar di Negeri Sabah.
Ianya sebagai penetapan landasan bagi kerjasama jangka masa panjang kepada program-program menoktahkan miskin tegar di negeri ini yang akan memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak dan juga kepada golongan sasar program ini.
MoU ini akan menyaksikan kerjasama dalam Pelaksanaan Program Social Synergy Secara Individu Dan Berkelompok bagi Program Menoktahkan Kemiskinan Tegar Di Negeri Sabah, Jalinan Kerjasama Strategik Bersama Agensi-Agensi Pemberi Bantuan di Sabah, Perkongsian Kepakaran Teknologi Maklumat, Program Kesedaran Perlindungan Keselamatan Sosial, Program Intervensi Pasaran Kerja dan Perkongsian Data.
Justeru itu, kerjasama itu akan memperlihatkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuhkan Program Menoktahkan Miskin Tegar di Negeri Sabah dengan jalinan kepakaran dan sumber teknologi selari dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0: 2021-2025 iaitu Teras M: Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat dan Pemboleh Daya 3: Keberkesanan dan Kecekapan Penyampaian.
MoU tersebut ditandatangani oleh Datuk Rosmadi Datu Sulai, Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat Sabah Maju Jaya mewakili kerajaan negeri Sabah dan Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO.
MoU ini juga telah disaksikan oleh Ramlee Kariah, Ketua Pegawai Operasi Sekretariat Sabah Maju Jaya dan Dr. Mohd Ali Hindia, Pengarah PERKESO Negeri Sabah.