KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) dituntut untuk memberi penjelasan berhubung pendedahan operasi agensi pengintipan rejim Israel, Mossad di Malaysia.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kejadian seumpama ini bakal menimbulkan kebimbangan dan kegusaran dalam kalangan banyak pihak.
“Ia bukan sahaja isu keselamatan. Malah, ini sebetulnya isu kedaulatan dan maruah negara…
“Susulan itu, saya secara peribadi dan UMNO secara amnya percaya wujud keperluan untuk kerajaan Malaysia khususnya, antara lain, KDN tampil membuat penjelasan yang lengkap berhubung perkara ini.
“Malaysia tidak boleh dibiarkan menjadi medan operasi pengintipan jahat mana-mana pihak, apatah lagi oleh rejim haram seperti Israel yang tidak pun diiktiraf oleh negara kita…
“Adalah kritikal untuk pihak berkuasa meneliti dan menyiasat saluran serta ‘entry window’ yang membolehkan operasi sedemikian menyelinap masuk, bertapak serta beroperasi di dalam negara kita,” katanya dalam satu kenyataan media yang dimuat naik dalam laman media sosialnya.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut berkata kerajaan harus melihat isu ini secara serius dan menjelaskannya kepada masyarakat.
“Penglibatan ramai warga tempatan yang tidak bertanggungjawab dalam sindiket ini menuntut kita untuk bukan sahaja memberikan mereka hukuman yang tegas dan keras…
“Malah kita mesti membentuk pasukan khas dengan segera untuk meneliti dan mendalami taktik serta strategi Mossad mendekati dan melatih orang tempatan.
“Sudah pasti semua ini tidak berlaku dengan mudah melainkan mereka benar-benar memahami ekosistem dan pendekatan keselamatan dalam negara kita.
“Kita bukan sahaja ingin menjawab kekeliruan dan mengetahui perkara sebenar tetapi ia juga boleh menjadi amaran serta meningkatkan kesedaran orang awam berhubung jenayah ini,” katanya.