AMPANG JAYA – Perbuatan biadab seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri menyerang dan mencederakan tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang sedang bertugas di sebuah tokong memakan diri apabila dia didakwa atas empat pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini semalam.
Bagaimanapun, tertuduh Datuk Seri Liow Soon Hee, 29, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azrul Darus, lapor Kosmo Online.
Bagi pertuduhan pertama, Soon Hee didakwa dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah ke atas Lee Weng Poh, 27, di pekarangan Tokong Kou Ong Yah, Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang pada pukul 6.30 pagi, 27 Oktober lalu.
Berikutan itu lelaki tersebut didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa dengan niat menyerang penjawat awam, Melvin Cheong Mun Khai, 19, yang sedang menjalankan tugasnya sebagai anggota Rela pada tempat, waktu dan tarikh sama.
Dalam pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.