PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa buah negeri termasuk Sabah sehingga pukul 12 tengah hari ini.
Selain Sabah, negeri-negeri lain yang akan mengalami cuaca buruk adalah Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka.
“Di Sabah, antara kawasan yang terlibat ialah kawasan Tawau (Tawau, Kunak dan Lahad Datu) dan Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan)…
“Di Perak melibatkan kawasan Manjung, Bagan Datuk dan Hilir Perak manakala di Selangor pula di kawasan Klang, Kuala Langat serta Sepang.
“Bagi Negeri Sembilan antara kawasan yang terjejas ialah di Port Dickson sementara di Johor di Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Pontian,” kata MetMalaysia menerusi perkongsian di Facebooknya.
Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya





