KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri menubuhkan dua jawatankuasa khusus sebagai inisiatif penyelarasan program kemiskinan tegar di Sabah.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata antara dua jawatankuasa terbabit adalah Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Teknikal Menoktahkan Miskin Tegar.
Menurutnya, ia bagi menyelaras dan memantau Program Menoktahkan Miskin Tegar di negeri Sabah menjelang tahun ini ataupun 2025.
“Program Menoktahkan Miskin Tegar di Negeri Sabah akan dilaksanakan secara berfasa iaitu program jangka masa pendek, sederhana dan panjang.
“Program jangka masa pendek merangkumi lima program iaitu program MySMJ Profiling, MySMJ Kerja PBT, MySMJ Kerja DO, MySMJ Kerja GLC dan MySMJ Kerja Industri.
“Manakala, program jangka masa sederhana melibatkan lima (5) program, antaranya
MySMJ: Tani, MySMJ: Mikro, Rumah Mesra SMJ, MySMJ:Tour dan MySMJ: Care. Bagi jangka masa panjang pula, terdapat dua program iaitu MySMJ: Modal Insan dan MySMJ: Teroka,” katanya.
Mengulas lanjut, Hajiji berkata pihaknya memberi tumpuan khusus terhadap Program MySMJ Kerja sebagai program utama melaksanakan inisiatif menoktahkan kemiskinan.
“Faktor akses peluang pekerjaan kepada golongan miskin ini juga telah dikenal pasti dalam isu yang membelenggu golongan ini.
Berdasarkan data locked figure, didapati sebanyak 9,215 KIR ataupun 41 peratus tidak mempunyai sebarang sijil pelajaran.
“Perkara ini, telah mengekang kepada keupayaan Ketua Isi Rumah (KIR) untuk mencari peluang pekerjaan sehingga terpaksa melakukan kerja bermusim seperti nelayan, petani dan pekerja buruh di kampung.
“Oleh yang demikian, Program MySMJ Kerja ini akan menumpukan kepada usaha memberikan peluang pekerjaan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR) yang berdaftar di dalam sistem eKasih untuk diberikan peluang pekerjaan dalam usaha memberikan sumber pendapatan dan peningkatan ekonomi kepada golongan miskin tegar di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikan ketika menjawab soalan Alias Sani (WARISAN-Sekong) mengenai langkah kerajaan dalam usaha membawa Sabah keluar daripada kedudukan tercorot negeri miskin di Malaysia dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Hajiji turut berkata Sekretariat Sabah Maju Jata telah menjalinkan kerjasama bersama pelabur dan pemain industri sebaga langkah memberi peluang pekerjaan kepada golongan miskin tegar.






