Kes Tembak KLIA: Hafizul Ditahan Di Jalan Bayam

Kes Tembak KLIA: Hafizul Ditahan Di Jalan Bayam

0
SHARE
Hafizul
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menunjukan gambar suspek ketika sidang media di KLIA, semalam. Turut sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib ( Sumber Foto: Bernama )

KOTA BHARU, KELANTAN – Suspek lelaki yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 ditahan di Jalan Bayam, petang tadi.

Memetik sumber Berita Harian, suspek Hafizul Hawari, 38, ditahan di hadapan Hospital Pakar Perdana iaitu beberapa meter dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan jam tiga petang tadi.

Sumber berkata, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kelantan.

Katanya, suspek ditahan di hadapan Hospital Pakar Perdana dan berlaku pergelutan sebelum dia berjaya ditahan.

“Ketika ditahan berlaku pergelutan dan suspek seorang diri,” katanya sambil menambah polis turut merampas sepucuk pistol daripada suspek.

Terdahulu, polis mengesahkan suspek kes tembakan Hafizul Hawari, 38, sudah ditahan di Kota Bharu, Kelantan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata suspek ditahan di sebuah lokasi di Kota Bharu, kira-kira jam tiga petang tadi.

“Ya, saya sahkan (tangkapan). Suspek baru ditahan pada jam tiga petang tadi di Kota Bharu.

“Satu sidang akhbar akan diadakan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman atau Ketua Polis Negeri dalam masa terdekat,” katanya.