Lelaki Bakar Kereta Kekasih Isteri Di Membakut Ditahan

Lelaki Bakar Kereta Kekasih Isteri Di Membakut Ditahan

0
SHARE
Polis
Keadaan kereta suspek yang dibakar ( Sumber Foto: Ihsan IPD Beaufort )

BEAUFORT, SABAH – Berang isteri jalinkan hubungan dengan lelaki lain, seorang suami berusia 30an ditahan polis selepas membakar kereta jenis Toyota Altis “teman lelaki” isterinya di Membakut pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Beaufort, DSP Ismail Abdullah berkata, abang ipar pengadu melihat mangsa datang ke rumah menaiki kereta Perodua Bezza sebelum membuka pintu hadapan kereta dan tergesa-gesa meninggalkan lokasi.

“Saksi datang memeriksa kereta dan mendapati bahagian dalam kereta mangsa terbakar pada bahagian kerusi pemandu, tali pinggang, stering, dashboard dan lapis bumbung.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM20,000,” katanya.
Sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah Beaufort menahan suspek di rumahnya pada 6.30 petang Sabtu.

Katanya, suspek mengaku membakar dan menyembur kereta mangsa menggunakan cat hitam.

“Perbuatan itu dilakukan disebabkan suspek cemburu dan dendam kerana mendakwa mangsa ada hubungan dengan isteri suspek,” katanya.

Ismail berkata, suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Isnin hadapan (21 April) mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.