SEMPORNA, 6 Oktober – Seorang pelancong dari Semenanjung, Nik Saleha, meluahkan rasa kecewa apabila mendapati perairan sekitar Semporna dicemari sampah plastik meskipun kawasan itu terkenal dengan keindahan lautnya.
“Mula-mula memang kagum, lautnya cantik. Tapi bila pandang ke bawah, nampak plastik terapung.
“Dari luar resort pun boleh lihat sampah hanyut datang dari kampung berdekatan,” katanya ketika ditemui Krew SabahNews baru-baru ini.
Lebih mengecewakan, katanya, ada pemandu bot pelancong sendiri dilihat membuang sampah terus ke laut tanpa rasa bersalah.
“Kami nampak kayu dan plastik dibuang dari bot. Bila ditegur, jawapan mereka seolah-olah tak peduli — bukan kerja saya nak kutip.
“Kalau orang tempatan sendiri tak kisah, macam mana persepsi dan pengalaman pelancong yang datang ke sini?” ujarnya.
Nik Saleha menegaskan, pelancong membayar caj untuk menikmati keindahan pulau, tetapi kebersihan yang tidak terurus merosakkan pengalaman mereka.
“Kerajaan kena lebih tegas. Kalau sampah terapung sampai ke kawasan resort, usaha pembersihan jadi sia-sia. Jangan biar masalah ini berulang,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelancong, Hanifah, tersentuh melihat keadaan kanak-kanak tanpa warganegara berkeliaran bebas tanpa pengawasan di sini.
Katanya, mereka tanpa segan silu berani mendekatkan diri mendesak agar wang poket diberikan sehingga boleh meninggalkan tanggapan buruk kepada pelancong.
“Budak-budak kecil berkeliaran, ada yang meminta sedekah. Mereka tidak bersekolah, tiada dokumen.
“Hidup mereka seolah-olah tiada masa depan. Kalau diberi peluang pendidikan, mereka boleh jadi aset, bukan masalah,” katanya.

Rungutan Pelancong Asing
Terdahulu, SabahNews melaporkan rungutan pelancong asing di media sosial yang kecewa dengan keadaan kebersihan di Semporna.
Mereka mendakwa pulau-pulau di sekitar Semporna memang indah, tetapi keadaan daratan di pekan dan perkampungan air tercemar dengan sampah plastik, longgokan sisa dan pencemaran yang ketara.

Catatan di media sosialnya tular dan mengundang pelbagai reaksi, termasuk dari penduduk tempatan yang mengakui masalah sampah telah lama berlaku.
Kenyataan itu menimbulkan perbincangan lebih luas tentang imej Semporna sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.
Kritikan terbuka di media sosial dikhuatiri menjejaskan reputasi pelancongan Sabah sekiranya pihak berkuasa dan pimpinan kawasan gagal menunjukkan tindakan segera dalam menguruskan kebersihan dan persekitaran.
Isu Sampah, Pembangunan Semporna Jadi Kayu Ukur Menjelang PRN-17
Sebelum ini, Gabungan NGO Bebas Suara (BEBAS) menyifatkan masalah kebersihan dan pembangunan di Semporna sebagai cerminan kegagalan kepimpinan politik kawasan itu untuk memanfaatkan peluang pembangunan yang ada selama ini.
Jurucakap BEBAS, Faiz Yong berkata, keadaan bandar yang masih kotor dan tidak terurus walaupun Semporna dikenali dengan pulau-pulaunya yang tercantik di dunia menunjukkan kegagalan menyeluruh dari segi kepimpinan dan perancangan.
“Ketika Ahli Parlimen kawasan ini menjadi Ketua Menteri Sabah, peluang terbuka luas untuk memperbaiki wajah bandar Semporna melalui peruntukan negeri dan perancangan semula infrastruktur.
“Malangnya, peluang itu tidak diterjemahkan kepada perubahan besar,” katanya mengulas mengenai laporan khas “Indah di Pulau, Kotor di Darat: Semporna Belum Sempurna” semalam.

Untuk rekod, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mula diberi mandat oleh rakyat Semporna sejak tahun 1995 dan sehingga kini kekal sebagai Ahli Parlimen kawasan itu. Namun, tiga dekad berlalu, isu asas seperti kebersihan bandar, pengurusan sampah serta komuniti tanpa dokumen masih belum berjaya diselesaikan.
Dalam kerjaya politiknya di peringkat Persekutuan, Mohd Shafie pernah dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada tahun 2004. Beliau kemudian mengetuai beberapa kementerian termasuk Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, sebelum memegang portfolio Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dari tahun 2009 hingga 2015. Julai 2015 menjadi titik penting apabila beliau digugurkan daripada kabinet selepas rombakan besar oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.
Setahun kemudian, pada 17 Oktober 2016, beliau menubuhkan Parti Warisan Sabah (WARISAN). Parti itu mencatat kejayaan besar apabila menawan pentadbiran negeri pada Pilihan Raya Umum Negeri 2018, dengan Mohd Shafie mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah ke-15. Pemerintahannya bagaimanapun hanya bertahan 26 bulan sebelum tumbang pada Pilihan Raya Negeri 2020. Walaupun berjaya mempertahankan kerusi DUN Senallang dengan majoriti 4,631 undi, angka itu merosot berbanding pilihan raya sebelumnya.

Mengulas lanjut, Faiz berkata walaupun kini Ahli Parlimen berkenaan berada di blok pembangkang negeri, beliau masih mempunyai akses kepada kuasa di peringkat Persekutuan melalui kementerian tertentu.
“Akses ini sepatutnya digunakan untuk membawa pulang peruntukan dan projek pembangunan, tetapi rakyat masih menunggu bukti jelas bahawa pengaruh tersebut benar-benar dimanfaatkan untuk kepentingan tempatan,” ujarnya.
Beliau menambah, Majlis Daerah Semporna tidak wajar dipersalahkan sepenuhnya kerana mereka berdepan kesukaran melaksanakan tanggungjawab dalam suasana politik yang tidak konsisten.
“Tanpa arahan jelas dan sumber mencukupi, segala dasar kebersihan dan perancangan bandar hanya tinggal inisiatif kecil yang tidak memberi kesan besar,” katanya.
Faiz turut menyentuh usaha kerajaan negeri melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menyediakan kerangka pembangunan seimbang.
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan di Semporna masih gagal mencapai hasil kerana kurangnya kepimpinan kawasan yang konsisten dan berfokus.
BEBAS berpendapat isu kebersihan dan pembangunan Semporna bakal menjadi kayu ukur penting menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17.






