TAWAU – Kira-kira 20 buah kubur di Tanah Perkuburan Islam di Batu 3.5 Jalan Apas di sini rosak akibat tanah runtuh.
Memetik laporan portal berita Bernama, Seorang penduduk Taman Megah Jaya Tawau, Prasad Ridwan berkata kubur yang terletak di kawasan lereng bukit itu runtuh dan disedari jirannya pagi tadi.
“Ini kejadian paling teruk kerana melibatkan banyak kubur rosak dan sebelum ini hanya dua hingga tiga kubur sahaja yang roboh selepas hujan lebat,” katanya ketika ditemui pemberita di kawasan kubur itu.
Beliau turut tidak menolak kejadian tanah runtuh itu mempunyai kaitan dengan aktiviti pembinaan perumahan di kawasan berdekatan antara tanah perkuburan dan Taman Megah Jaya.
“Ada kira-kira enam rumah di kawasan taman ini, pintu dapur mereka tidak dapat dibuka,” katanya yang turut menularkan gambar kubur runtuh itu supaya mendapat perhatian pihak berwajib.
Sementara itu Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (Jheains), Yusof Abbas berkata pihaknya telah meminta Jabatan Tanah dan Ukur bagi mengenal pasti pemilik serta status tanah perkuburan itu sama ada telah diwakaf atau sebaliknya.
“Sekiranya diwakafkan, kubur-kubur yang rosak akan dibaik pulih dan kawasan tanah perkuburan itu akan dibina tembok supaya menghalang hakisan berlaku,” katanya.
Menurutnya jika keadaan mendesak pihaknya akan mengenal pasti kawasan baharu untuk memindahkan tanah perkuburan tersebut.
Yusof turut menasihatkan agar pemaju perumahan mengenal pasti kawasan sekitar dan sekiranya terdapat tanah perkuburan berdekata, pemaju perlu mengambil tindakan proaktif menangani kejadian seperti kubur rosak.