Maritim Lahad Datu Siap Sedia Bantu Mangsa Banjir

Maritim Lahad Datu Siap Sedia Bantu Mangsa Banjir

0
SHARE

LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu kekal dalam keadaan siap siaga 24 jam bagi memberikan bantuan kepada mangsa banjir di daerah ini susulan pengumuman bencana oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) pada 29 Januari lalu.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali, berkata pihaknya bersama Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohammad Yusof Apdal, telah meninjau situasi di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang kini menempatkan seramai 443 mangsa.

“Setakat ini, seramai 146 mangsa ditempatkan di Dewan VTC Segama, 20 orang di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Terusan Silam, dan 267 lagi di Dewan Kolej Vokasional Lahad Datu Segama,” katanya, semalam.

Beliau turut memaklumkan bahawa selain Maritim Malaysia, beberapa agensi lain turut digerakkan, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). 

Semua pasukan penyelamat kini menunggu arahan lanjut daripada JPBD bagi memastikan operasi bantuan berjalan lancar.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia mengingatkan komuniti maritim agar sentiasa berwaspada ketika melakukan aktiviti di perairan, terutama dalam keadaan cuaca buruk ketika ini.

“Aspek keselamatan bot atau vesel perlu dititikberatkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. Kami menasihati orang ramai agar berhati-hati dan segera mendapatkan maklumat terkini sebelum turun ke laut,” tambahnya.

Sebarang aduan mengenai kegiatan jenayah atau insiden kecemasan di laut boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Lahad Datu melalui WhatsApp di talian 016-9305727 atau menghubungi talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.