KOTA KINABALU – Satu perkongsian di laman media sosial Facebook oleh pemimpin Pemuda Parti Warisan Sabah, Datuk Azis Jamman baru-baru ini yang menggunakan khidmat salah satu syarikat penerbangan tempatan dengan mengambil Kelas Perniagaan (Business Class) telah menimbulkan kecaman para netizen.
Para netizen bertanya; mengapa sumbangan awam diminta bagi mendapatkan ikat jamin Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sementara pemimpin lain mengembara menaiki khidmat penerbangan dalam Kelas Perniagaan?
Azis, di halaman Facebook mliknya, telah memaparkan gambarnya yang duduk dengan Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony di bahagian Kelas Perniagaan untuk penerbangan ke Kuala Lumpur bagi menghadiri sidang Parlimen di mana Shafie Apdal sepatutnya menyampaikan ucapan ketika itu.
Para netizen juga turut berkongsi gambar Anthony berjalan dengan ahli parti sambil membawa kotak sumbangan dan meminta orang ramai untuk terus menyumbang.
Salah seorang pengguna media sosial Facebook, Shaiful Tani telah menghantar satu komen ke laman Facebook Azis, memberitahunya bahawa mereka harus memperbaiki imej parti dengan menggunakan penerbangan Kelas Ekonomi (Economy Class) kerana ia dapat membantu mereka dalam mengikat sillaturahim dengan penumpang di pesawat biasa. “Ini sedikit teguran dari saya,” kata Shaiful dalam komennya yang dihantarnya.
Walaubagaimanapun, terdapat ramai pengguna lain di laman Facebook membela para pemimpin Warisan itu dengan mengatakan bahawa mereka mungkin tidak dapat mendapatkan tiket kelas ekonomi kerana tempahan di saat-sat akhir.
Warisan telah mendapat sejumlah derma sebanyak RM112,000 dari orang ramai bagi pembayaran untuk jaminan membebaskan Shafie, yang telah dibebaskan pada hari Jumaat (27 Okt), selepas lapan hari dalam tahanan reman SPRM.
Beliau ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung atas dakwaan menyeleweng dana Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bernilai RM1.5 bilion antara tahun 2009 dan 2015.
Shafie adalah antara 13 orang, termasuk Aziz dan Anthony, yang ditahan dan dibebaskan dengan jaminan sementara bagi menunggu siasatan lanjut oleh pihak SPRM.