
LAHAD DATU, SABAH – Pesta Kaamatan diraikan bersama seluruh lapisan masyarakat di Sabah tanpa mengira suku kaum dan etnik termasuklah di kawasan Pantai Timur seperti daerah Lahad Datu, Sandakan, Kunak, Tawau dan Semporna.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib mengajak masyarakat yang bukan suku kaum KDMR supaya membuang tanggapan atau stigma bahawa perayaan ini hanya untuk etnik KDMR sahaja.
“Daerah Lahad Datu adalah antara daerah di negeri ini yang mempunyai keunikan tersendiri dengan etnik orang asal KDMR seperti Dusun Segamo, Dusun Subpan, Idahan dan Dusun Begak.
“Saya percaya melalui perayaan Pesta Kaamatan, kita berupaya memperkukuhkan dan memantapkan lagi semangat perpaduan, persaudaraan dan kekitaan dalam kalangan rakyat pelbagai suku, kaum dan budaya di negeri bawah bayu yang kita cintai ini,” katanya.
James yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut menambah, Pesta Kaamatan adalah manifestasi keharmonian dan semangat muhibah masyarakat di negara ini untuk hidup aman damai dan bersatu padu walaupun terdiri daripada berbilang kaum, bangsa, agama dan kepercayaan.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Lahad Datu yang diadakan di Dewan Sri Perdana, di sini, semalam.
Sementara itu, katanya kerajaan Nngeri sentiasa menyambut baik dan mengalu-alukan penganjuran program seumpama ini.
“Tentunya pesta ini akan dapat mengukuhkan lagi toleransi dan semangat kekitaan yang telah terjalin di negeri ini seterusnya menggembleng matlamat membina masyarakat Malaysia yang penyayang.
“Justeru, tema Kaamatan pada tahun ini, ‘Kaamatan Membudayakan Perpaduan’ adalah tepat pada masanya kerana ia mencetus satu transformasi ke arah masyarakat berbilang kaum yang penyayang dan saling hormat menghormati,” katanya.
Menurutnya, Pesta Kaamatan kini sudah diiktiraf sebagai perayaan nasional kerana sambutannya turut diraikan melangkaui batasan etnik dan agama sekaligus mencerminkan konsep ‘Malaysia Madani’ yang telah diilhamkan Perdana Menteri.
“Kerajaan negeri pada hari ini di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sentiasa komited untuk meningkatkan lagi taraf sosioekonomi rakyat dengan memacu pembangunan di seluruh pelosok negeri termasuklah di daerah Lahad Datu, melalui pelaksanaan pelbagai dasar dan agenda,” katanya.
Dalam pada itu, James turut mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya Lahad Datu dipilih sebagai tuan tumah Pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah tahun hadapan.