PMX Mulakan Lawatan Kerja ke Pulau Banggi Hari Ini

PMX Mulakan Lawatan Kerja ke Pulau Banggi Hari Ini

0
SHARE

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan kerja ke Pulau Banggi hari ini selepas tiba di Sabah malam tadi bagi menghadiri beberapa program rasmi di Kudat dan pulau berkenaan.

Sepanjang lawatan kerja itu, Perdana Menteri dijadual mengadakan lawatan ke Pos Dogotan di Pulau Banggi selain mengunjungi Sekolah Menengah Kebangsaan Banggi.

SMK Banggi mempunyai sejarah tersendiri buat Perdana Menteri apabila beliau yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pernah merasmikan majlis pecah tanah bangunan baharu sekolah berkenaan pada 10 November 1994.

Selain itu, beliau turut dijadual menghadiri majlis ramah mesra bersama masyarakat setempat sebelum berlepas pulang ke ibu negara.

Pulau Banggi yang terletak di utara Sabah merupakan pulau terbesar di Malaysia dengan keluasan kira-kira 440 kilometer persegi dan boleh diakses melalui perjalanan feri sejauh kira-kira 70 kilometer dari terminal Kudat.

Semalam, pesawat khas yang membawa Perdana Menteri bersama isteri, Wan Azizah Wan Ismail, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada jam 11.12 malam selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 dan Mesyuarat Berkaitan di Cebu, Filipina.

Ketibaan beliau disambut Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Joachim Gunsalam serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.