TAWAU, SABAH – Masyarakat khususnya di daerah ini diseru agar terus menghayati tema sambutan Hari Kebangsaan.
Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Andi Muhammad Suryadi Bandy berkata, tema sambutan Hari Kebangsaan ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’ mempunyai pengertian yang luas dan ia lebih menjurus kepada erti kebebasan.
“Pengertian Hari Kebangsaan itu sendiri ada banyak, jika kita baca pada buku dan selusuri sejarah itu sangat besar ertinya.
“Pemimpin-pemimpin terdahulu telah bersusah payah memastikan kebebasan ini agar kita mempunyai keupayaan untuk mentadbir negeri kita seterusnya diperturunkan bermula dari pimpinan terdahulu hinggalah sekarang.
“Kita tidak mahu generasi muda hilang jati diri kerana kita orang Malaysia, kita orang Sabah, kepelbagaian dan kesatuan itulah sebenarnya kekuatan kita.
“Sukan Olimpik baru-baru ini adalah contoh medium penyatuan rakyat di mana semua masyarakat tanpa mengira bangsa dan latar belakang akan menyokong setiap atlet negara yang bertanding,
“Jadi, ini yang patut kita terapkan dan ini harus kita sentiasa ingatkan untuk kita menyokong apa jua agenda kerajaan yang boleh menaikkan imej negara,” ujarnya ketika merasmikan Program Jiwa Komuniti MADANI Peringkat Parlimen Kalabakan, pada Jumaat malam.
Andi yang juga Ahli Parlimen Kalabakan turut mencadangkan agar bendera kebesaran negeri turut diberikan nama khas sebagaimana yang dilakukan pada bendera negeri Sarawak dan Jalur Gemilang.
Pada majlis tersebut, beliau turut mengalu-alukan kehadiran peserta-peserta Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 yang telah membuat beberapa hentian di daerah Kalabakan sebagai salah satu pengisian bagi mengajak rakyat untuk sama-sama menggelorakan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Sabah.
Hadir sama Ketua Konvoi KMJG 2024 yang juga Pengarah Penerangan Sabah Jainisah Mohd Noor, Timbalan Pengarah Pengurusan Maritim Sabah Siti Norhaini Osli, Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) Kukusan Sukardi Mahsuri, PPM Merotai Jailani Chachu, PPM Sebatik Raden Sirap dan Pegawai Penerangan Daerah Tawau Azuary Abdul Azis. — JABATAN PENERANGAN SABAH