LABUAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan tampil memperjelaskan kekeliruan berhubung isu penjualan tiket feri bagi laluan Menumbok–Labuan yang tular di media sosial baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, KPDN WP Labuan, menegaskan situasi itu berpunca daripada perubahan operasi susulan permintaan penumpang yang tinggi dan bukannya berlaku penjualan tiket secara tidak telus.
KPDN memaklumkan pihaknya telah mendapatkan penjelasan daripada pengusaha feri bagi mengetahui kronologi sebenar kejadian yang berlaku pada 8 Julai lalu.
“Jadual asal perjalanan dari Menumbok ke Labuan pada hari berkenaan hanya menyediakan satu perjalanan terakhir pada jam 8 malam.
“Namun, tempahan yang diterima melalui sistem dalam talian dan jualan di kaunter telah melebihi kapasiti, menyebabkan tiket bagi perjalanan tersebut ditutup selepas mencapai had tempahan.
“Keadaan itu turut menyebabkan kenderaan yang berada dalam senarai menunggu (waiting list) tidak dapat menaiki feri pada perjalanan terakhir berkenaan,” jelas KPDN.
Bagi mengatasi permintaan penumpang yang tinggi, pengusaha feri kemudian membuka satu perjalanan tambahan pada jam 7 malam.
Keputusan itu dibuat hanya selepas tempahan bagi perjalanan jam 8 malam telah melebihi kapasiti dan penjualan tiket bagi perjalanan tambahan bermula sebaik sahaja keputusan tersebut dibuat.
Selepas perjalanan tambahan dibuka, seramai 20 pemilik kenderaan persendirian dan tujuh kenderaan berat termasuk lori serta treler yang telah mempunyai tiket bagi perjalanan jam 8 malam memilih untuk menukar tempahan mereka kepada perjalanan tambahan itu.
Selain itu, beberapa penumpang yang telah membuat tempahan juga tidak hadir (no show) pada waktu pelepasan, menyebabkan perjalanan jam 8 malam kelihatan masih mempunyai ruang kosong.
Menurut KPDN, keadaan itu telah menimbulkan persepsi bahawa tiket bagi perjalanan jam 8 malam masih dijual, sedangkan semua tiket sebenarnya telah habis ditempah sebelum perjalanan tambahan dibuka.
KPDN turut menjelaskan bahawa ketika pengadu mendapatkan maklumat di kaunter, tiket bagi perjalanan jam 8 malam sememangnya telah habis ditempah dan ditutup, manakala keputusan untuk membuka perjalanan tambahan pada jam 7 malam masih belum dibuat.
“Justeru, maklumat yang diberikan kepada pengadu ketika itu adalah berdasarkan status tempahan semasa,” menurut kenyataan itu.
KPDN WP Labuan berkata, pihaknya menghargai keprihatinan orang ramai yang menyalurkan maklumat dan pandangan berkaitan perkhidmatan feri, selain sentiasa meneliti setiap aduan bersama pihak berkaitan bagi memastikan isu yang dibangkitkan dapat diperjelaskan secara menyeluruh.
Menurut kenyataan itu, pengusaha feri turut mengambil maklum perkara berkenaan dan akan meneliti langkah penambahbaikan, khususnya dalam aspek penyelarasan sistem tempahan serta penyampaian maklumat kepada penumpang apabila berlaku perubahan operasi atau pembukaan perjalanan tambahan.
“KPDN WP Labuan akan terus bekerjasama dengan agensi serta pihak berkaitan bagi memastikan kepentingan pengguna sentiasa dipelihara dan setiap isu yang dibangkitkan dapat ditangani secara konstruktif demi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai yang mempunyai aduan atau maklumat berkaitan salah laku perdagangan turut digalakkan menyalurkannya kepada KPDN melalui saluran rasmi yang disediakan.






