SANDAKAN: Seorang Pendatang Tanpa Izin (PTI) dijatuhi hukuman penjara selepas gagal membayar denda keseluruhan berjumlah RM635,000 kerana didapati bersalah mencuri serta menjual bekalan elektrik secara haram di sebuah penempatan setinggan di daerah ini.
Mahkamah Sesyen Sandakan mensabitkan tertuduh, Asis Cengkuru, atas beberapa pertuduhan di bawah Enakmen Bekalan Elektrik 2024 susulan Operasi Bersepadu yang diketuai oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) bersama Sabah Electricity, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 8(1)(b) dan Seksyen 61(1), tertuduh masing-masing dikenakan denda RM300,000 atau lapan bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.
Mahkamah turut menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau satu bulan penjara di bawah Seksyen 61(3)(a), selain denda RM30,000 atau lapan bulan penjara di bawah Seksyen 61(8), menjadikan jumlah keseluruhan denda sebanyak RM635,000.
Dalam hujah pemberatan, pihak pendakwaan ECoS memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh dipercayai turut terbabit dalam aktiviti penyambungan bekalan air secara haram.
Pendakwaan turut memaklumkan bahawa kegiatan penyambungan elektrik secara haram yang dilakukan tertuduh dipercayai menyumbang kepada insiden renjatan elektrik yang meragut nyawa seorang remaja berusia 18 tahun pada tahun 2024.
Mahkamah mengambil kira faktor-faktor berkenaan sebagai menunjukkan tahap keseriusan kesalahan serta risiko besar terhadap keselamatan awam sebelum menjatuhkan hukuman.
Selepas gagal menjelaskan denda yang dikenakan, tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara dan akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk proses pengusiran sebaik selesai menjalani hukuman.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ECoS, Andreyno Thomas.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi ECoS, Ir. Ts. Ridwan Saham, menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan mencuri dan menjual bekalan elektrik secara haram.
“Kerjasama berterusan semua pihak amat penting bagi memastikan keselamatan awam serta integriti sistem bekalan elektrik di Sabah terus terpelihara,” katanya.






