Pergaduhan Antara Rakan Sekerja Membawa Maut Di Kinabatangan

Pergaduhan Antara Rakan Sekerja Membawa Maut Di Kinabatangan

0
SHARE

KINABATANGAN, SABAH – Pekerja ladang warga Indonesia maut selepas ditetak rakan sekerja dalam pergaduhan di hadapan rumah pekerja di Ladang Gomantong Paris 2, Kinabatangan, pada 8.45 pagi, Ahad.

Memetik kenyataan Harian Metro, mangsa Ewan Ibrahim, 30, bagaimanapun ditemui meninggal dunia satu kilometer dari lokasi kejadian kira-kira jam 1 tengah hari selepas melarikan diri.

Sementara, suspek warga Indonesia berusia 35 tahun turut cedera akibat ditikam mangsa dan kini menerima rawatan di Hospital Lahad Datu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila suspek dikatakan pergi ke rumah mangsa untuk mengarahkannya keluar dari ladang kerana tidak hadir bekerja selama hampir dua bulan.

“Mangsa memberi alasan akan hadir hari ini untuk bekerja dan ketika suspek sedang bercakap, mangsa terus masuk ke rumahnya dan tidak mengendahkan kata-kata suspek.

“Suspek yang marah terus mengambil batu lalu membaling ke arah mangsa. Balingan itu terkena di bahagian belakang badan mangsa menyebabkannya mengejar dan menendang suspek,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, kelmarin, Isnin.

Katanya, suspek kemudian melarikan diri dan datang semula kira-kira 15 minit kemudian lalu lalu menetak pergelangan tangan kanan mangsa menggunakan parang.

“Ketika pergaduhan itu, mangsa memegang sebilah pisau dan turut menyerang dan menikam suspek sebanyak dua kali di rusuk kanan dan perut.

“Mangsa kemudian melarikan diri masuk ke ladang kelapa sawit dalam keadaan parah, manakala isteri dan dua anaknya turut melarikan diri kerana khuatir akan dicederakan.

“Suspek yang terbaring akibat cedera kemudian diangkat oleh isterinya sebelum dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai meninggal dunia akibat pendarahan teruk di tangan kanan dan mayatnya dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk bedah siasat.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.