PITAS: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus membuktikan komitmen terhadap kesejahteraan komuniti luar bandar apabila berjaya melaksanakan projek Makmal Hidup Mikro Logi Rawatan Air Bersih yang kini membekalkan air bersih dan selamat kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bongkul, Pitas.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly berkata, projek berimpak tinggi itu diketuai oleh Dr. Nur Zaida Zahari dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dengan sokongan Dana Living Lab UMS, dan telah memberi manfaat kepada kira-kira 180 pelajar asrama di sekolah berkenaan.
Menurutnya, sebelum pelaksanaan projek tersebut, sumber air utama sekolah didapati tercemar akibat sistem kumbahan lama yang tidak berfungsi, menyebabkan kandungan bakteria E. coli tinggi serta menimbulkan masalah kesihatan seperti penyakit kulit dalam kalangan pelajar.
“Sistem rawatan air ini bukan sahaja menapis dan merawat air, malah dilengkapi dengan teknologi pemantauan pintar berasaskan Internet Pelbagai Benda (IoT) yang membolehkan kualiti air dipantau secara langsung dari kampus induk UMS di Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Audit dan penilaian keberkesanan sistem tersebut telah diketuai oleh Prof. Madya Dr. Fatimah Ahmedy dari Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) UMS bagi menilai impak dan keberkesanan sistem terhadap komuniti setempat.
Dr. Rosalam berkata, kejayaan projek itu adalah bukti jelas bagaimana penyelidikan universiti dapat diterjemahkan menjadi solusi praktikal kepada masalah sebenar masyarakat.
“Projek ini membuktikan bahawa hasil penyelidikan UMS tidak terhenti di makmal, tetapi sampai kepada masyarakat yang memerlukannya,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa UMS berhasrat untuk menambah baik sistem berkenaan menggunakan teknologi membran termaju, serta mengalu-alukan kerjasama industri dan korporat bagi menaik taraf sistem kumbahan sekolah melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Usaha tersebut, katanya, selaras dengan komitmen berterusan UMS dalam mendukung peranan universiti sebagai pemangkin pembangunan mampan dan kesejahteraan komuniti luar bandar di Sabah.






