KUALA LUMPUR: PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PETRONAS Carigali) melakar satu lagi kejayaan penting dalam industri minyak dan gas negara apabila berjaya menemui medan minyak Megah-1 di Deepwater Block 3K, perairan Sabah, yang disifatkan sebagai penemuan terbesar dalam tempoh 20 tahun.
Medan Megah-1 dianggarkan mempunyai rizab antara 200 hingga 300 juta tong minyak, bersaiz hampir sama dengan medan Kikeh, sekali gus menegaskan kedudukan Malaysia sebagai antara hab tenaga utama di rantau ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Carigali, Hazli Sham Kassim berkata, penemuan tersebut adalah hasil kepakaran sepenuhnya anak tempatan dan penggunaan teknologi moden yang membolehkan penggerudian dilakukan secara tepat dan selamat.
“Saya boleh katakan dengan bangga, semua penemuan ini adalah hasil daripada kepintaran dan daya kreativiti anak Malaysia,” katanya dalam satu temubual bersama Berita Harian baru-baru ini.
Hazli menjelaskan bahawa kejayaan itu amat bermakna kerana kawasan berkenaan pernah diterokai oleh syarikat antarabangsa lain tetapi tidak menghasilkan keputusan signifikan.
Kejayaan ini, katanya, membuktikan keupayaan pasukan eksplorasi PETRONAS menggunakan data dan interpretasi geologi baharu yang berbeza, sekali gus menarik semula minat pelabur antarabangsa ke kawasan tersebut.
Beliau turut mendedahkan bahawa PETRONAS Carigali kini menumpukan penerokaan di kawasan ‘frontier’ berisiko tinggi tetapi berpotensi besar seperti Lembangan Langkasuka di utara Semenanjung dan Lembangan Layang-Layang di Sabah, dalam usaha menjamin masa depan tenaga negara.
Kejayaan Megah-1 turut dipacu oleh pelaburan teknologi tempatan melalui sistem kecerdasan buatan (AI) ERMAI – Enhanced Resource Monetisation Artificial Intelligence, yang membolehkan proses analisis data disiapkan dalam enam saat berbanding enam hari sebelum ini, bagi mengenal pasti peluang pengeluaran baharu dengan lebih pantas dan tepat.
Hazli yakin pendekatan berasaskan teknologi ini akan membolehkan PETRONAS Carigali terus mengekalkan rizab tenaga negara serta memperkukuh kedudukan Malaysia dalam memastikan keselamatan dan kelestarian tenaga jangka panjang.






